KUANTAN, 14 Oktober 2025 – Penerbit UnIPSAS telah mengadakan Bengkel “ Artikel Ekspress : Siap Dalam 2 Hari Bersama Dr. OT ” pada 13-14 Oktober 2025 yang lalu.
Objektif Bengkel “Artikel Ekspress: Siap Dalam 2 Hari Bersama Dr. OT” ini adalah membimbing peserta menghasilkan artikel akademik dalam tempoh dua hari disamping mengaplikasikan strategi penulisan pantas dan berfokus untuk mempercepatkan proses penyediaan artikel.
Penerbit UnIPSAS telah menjemput penceramah luar iaitu YBrs. Profesor Madya Dr. Othman bin Talib (Ketua Praxis, Industri dan Penglibatan Komuniti UCSI University Kuala Lumpur) bagi mengisi slot utama kepada para pensyarah yang terlibat sebagai peserta bengkel yang diadakan di Sri Manja Hotel, Kuantan. Bimbingan secara terus (hands-on) daripada penceramah jemputan memberi impak kepada para peserta dari awal sehingga draf artikel siap untuk dihantar ke jurnal berindeks untuk diterbitkan.
Bengkel ini melibatkan empat puluh orang peserta yang terdiri daripada pensyarah yang mewakili Fakulti Dakwah, Pendidikan dan Peradaban Islam (FDPPI), Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Fakulti Pengurusan dan Informatik (FMI), Fakulti Pengajian Bahasa dan Asasi (FOLAPS) dan Akademi Pengajian Quran dan Sunnah (AQS).
YBrs. Dr. Norahida binti Mohamed (Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi) telah menyampaikan kata alu-aluan dan sesi penutup bengkel ini telah disempurnakan oleh YM. Puan Raja Nurul Hafizah binti Raja Ismail selaku Pengarah Penerbit UnIPSAS. Semoga bengkel seperti ini menjadi bengkel tahunan supaya pensyarah sentiasa proaktif dalam menghasilkan artikel jurnal yang berkualiti dalam mendepani isu-isu semasa dalam penyelidikan.





